Selasa ,28 Oktober 2025
Balai Melayu Hotel

Artikel

Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu

05 April 2010 09:18:21

Oleh : Dr (HC). Tenas Effendy


 

1.      Pengenalan

Bagi orang Melayu, pantun sudah mendarah daging. Mereka bukan sahaja arif menyemak makna yang terkandung di dalam pantun, tetapi banyak pula yang mahir berpantun. Pada masa silam, pantun memegang peranan penting dalam menyebarluaskan nilai-nilai asas kemelayuan. Oleh sebab itu, pantun dijadikan media tunjuk ajar yang diwujudkan ke dalam beragam jenis pantun, seperti: pantun adat, pantun nasihat, pantun kelakar, pantun sindir-menyindir dan pantun berkasih sayang.

Dalam kehidupan bermasyarakat, pantun sering ditampilkan dalam berbagai-bagai kegiatan, baik dalam upacara adat dan tradisi, maupun dalam pembicaraan sehari-hari. Orang tua-tua sudah “terbiasa” menyelangi percakapannya dengan pantun. Kalau arah pembicaraan kepada nasihat, maka pantun-pantun nasihat akan meluncur dari mulut mereka. Bila percakapan bersifat kelakar dan senda gurau, pantun kelakar atau pantun sindir-menyindir akan dilantunkan. Begitulah seterusnya, sehingga pantun selalu terangkat ke permukaan dengan berbagai pesan moral yang menjadi isinya. Hal ini semakin mendorong orang Melayu untuk mampu berpantun, agar tidak “malu” dalam percakapan, atau supaya dapat menjawab pantun dengan pantun pula.

Walaupun berpantun tidak menjadi kewajipan bagi masyarakat Melayu, tetapi kerana banyak digunakan, menyebabkan orang merasa memiliki dan berupaya agar mampu berpantun dan memahami makna yang terkandung di dalamnya.

Di dalam ungkapan dikatakan:

Di mana orang berhimpun
di sana pantun dilantun

Di mana orang berbual
di sana pantun dijual

Di mana orang berhelat
di sana pantun diingat

Di mana orang berkampung
di sana pantun bersambung

Di mana orang beramai
di sana pantun dipakai

Di mana ada nikah kahwin
di sana pantun dijalin

Di mana orang berunding
di sana pantun bergandeng

Di mana orang bermufakat
di sana pantun diangkat

Di mana ada petuah
di sana pantun ke tengah

Di mana ada dakwah
di sana pantun disurah

Di mana adat dibilang
di sana pantun diulang

Di mana adat dibahas
di sana pantun dilepas

Luasnya peluang untuk berpantun menyebabkan orang mempersiapkan diri untuk dapat berpantun, baik mencipta pantun sendiri maupun menghafal pantun yang sudah ada. Semakin tua umur orang itu, semakin tinggi status sosialnya apalagi sebagai pemangku dan pemuka adat, atau orang yang dituakan oleh masyarakat, semakin banyak ia menguasai pantun. Setidak-tidaknya sebagai pemangku atau pemuka adat ia harus menguasai “pantun adat” atau sebagai orang yang dituakan, ia harus menguasai “pantun tunjuk ajar” dan seterusnya.

Demikian pula halnya dengan para remaja, mereka dituntut mampu berpantun, agar tidak menjadi bahan ejekan atau tertawaan dalam pergaulan, terutamanya dalam kesempatan untuk “berbalas pantun” di kalangan mereka sendiri. Dalam ungkapan dikatakan: kalau takut mendapat malu, pantun memantun hendaklah tahu.

Orang tua-tua menjelaskan bahawa dahulu setiap orang Melayu sejak meningkat remaja sudah dibiasakan mengikuti barbagai-bagai kegiatan pantun-memantun, baik yang dilakukan di lingkungan remajanya, maupun yang lain. Dalam setiap kesempatan, mereka mendapat peluang untuk turut “menjual” dan “membeli” pantun, sehingga kreativitinya dalam pantun memantun dapat berkembang, dan keberaniannya untuk tampil di depan umum semakin kukuh.

Sekarang apakah “pantun-memantun” masih tetap kukuh dalam kehidupan orang Melayu? Secara sekilas, tampaknya tradisi itu masih ada, walaupun tidak seperti masa silam. Dalam kegiatan upacara adat dan tradisi (misalnya upacara perkahwinan adat) serta dalam kegiatan lain, termasuk musyawarah adat, pantun masih banyak dipakai dan masih menjadi semacam kebanggaan bagi masyarakat. Berdasarkan pengamatan di lapangan, walaupun hakikatnya pantun memantun masih hidup dan digemari masyarakat, namun pewarisnya terasa amat menurun. Generasi muda Melayu nampaknya kurang berminat untuk mempelajari pantun secara penuh dan kurang berminat pula untuk mewarisnya secara utuh.

Sebahagian besar anggota masyarakat sekarang menganggap pantun hanya sebagai alat hiburan semata, tanpa menyedari dan memahami keberagaman peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu masa silam. Oleh karena adanya anggapan demikian, tentulah generasi mudanya menganggap pantun sebagai unsur kesenian hiburan, yang tidak memiliki nilai-nilai luhur yang amat mendasar, yang seharusnya mereka warisi dan kembangkan. Apabila pantun hanya dianggap sebagai alat hiburan, tentulah tidak ada kewajiban moral untuk mewarisi apalagi mengambangkannya, kerana masa kini, hiburan sudah teramat banyak, bahkan melebihi pantun berpantun.

Namun demikian, kita masih bersyukur kerana dalam kurun terakhir ini, pantun mulai mencuat ke permukaan, terutama di kalangan pejabat pemerintah dan organisasi kemasyarakatan. Pantun sudah sering diangkat dalam pidato resmi, pantun sering pula dilantunkan dalam pertandingan berbalas pantun, atau dalam upacara perkahwinan adat di kota-kota dan sebagainya. Kegiatan ini tentulah menjadi angin segar bagi kelangsungan hidup pantun. Yang perlu dibenahi lagi adalah bagaimana orang benar-benar memahami bahawa pantun mengandung makna, lambang dan nilai-nilai luhur yang amat berfaedah bagi kehidupan manusia. Dengan pemahaman ini, orang tidak sahaja akan berminat untuk berpantun sebagai hiburan atau peragaan, tetapi juga mampu menyerap dan menghayati nilai-nilai luhur yang terkandung di dalamnya. Kesedaran ini diharapkan dapat menggugah generasi Melayu khususnya dan generasi di luar puak Melayu untuk mewarisi pantun secara utuh dan benar, yang dapat menyebarluaskan pesan-pesan moral serta nilai-nilai luhur yang dikandungnya. Dengan demikian, pantun tidak lagi dipandang hanya sebagai alat hiburan saja, tetapi sebagai media yang bermanfaat dan serbaguna dalam pengembangan kebudayaan bangsa serta pembentukan kepribadian atau jati diri dalam arti luas.

2. Peranan Pantun Dalam Kehidupan Orang Melayu

Hakikatnya, peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu adalah untuk menyampaikan pesan-pesan moral yang sarat berisi nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma sosial masyarakatnya. Melalui pantun, nilai-nilai luhur itu disebarluaskan ke tengah-tengah masyarakat, diwariskan kepada anak cucunya. Selain itu, pantun berperanan pula dalam mewujudkan pergaulan yang seresam, mengekalkan tali persaudaraan, hiburan serta penyampaian “aspirasi” masyarakat.

Orang tua-tua mengatakan dengan pantun banyak yang dituntun. Di dalam ungkapan dikatakan pantun dipakai membaiki perangai atau pantun mengajar bersopan santun.

Di dalam penyebarluasan agama, pantun berperanan pula untuk menanamkan nilai-nilai keagamaan seperti tercermin dalam ungkapan melalui pantun syarak menuntun.

Untuk melihat sejauh mana peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, dapat disimak dari untaian ungkapan berikut:

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian adat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengingat petuah amanat

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk mengangkat tuah Melayu

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian budak
Apa guna orang berpantun
Untuk mengajar hukum dan syarak

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain cindai
Apa guna orang berpantun
Untuk membaiki laku perangai

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian nikah
Apa guna orang berpantun
Untuk menyampaikan petuah amanah

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain pelekat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengkaji adat istiadat

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain selerang
Apa guna orang berpantun
Untuk mengisi mana yang kurang

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk menimba berbagai ilmu

Kalau orang melabuh pukat
Carilah pancang kayu berdaun
Kalau kurang mengetahui adat
Carilah orang tahu berpantun

Kalau kayu hendak ditarah
Keratlah cabang dengan daunnya
Kalau ilmu hendak bertambah
Dekati orang dengan pantunnya

Apalah guna daun kayu
Untuk tempat orang berteduh
Apalah guna pantun Melayu
Untuk tempat mencari suluh

Di dalam untaian syair tunjuk ajar dikatakan:

Wahai ananda dengarlah pesan
Pantun Melayu jangan tinggalkan
Pakai oleh mu untuk pedoman
Di dalamnya banyak tunjuk ajaran

Wahai ananda intan dikarang
Pantun Melayu jangan dibuang
Di dalamnya banyak amanah orang
Untuk bekalmu di masa datang

Wahai ananda kekasih ibu
Pakai oleh mu pantun Melayu
Di dalamnya banyak mengandung ilmu
Manfaatnya besar untuk diri mu

Wahai ananda permata intan
Pantun Melayu jangan abaikan
Di dalamnya banyak mengandung pesan
Pegang olehmu jadi pedoman

Wahai ananda cahaya mata
Pantun Melayu jangan dinista
Isinya indah bagai permata
Bila dipakai menjadi mahkota

Wahai ananda bijak bestari
Pantun menjadi suluh negeri
Ilmu tersirat payah dicari
Bila disemak bertuahlah diri

Wahai ananda dengarlah amanat
Pantun memantun sudah teradat
Di dalamnya banyak berisi nasihat
Bila dipakai hidup selamat

Selanjutnya dalam untaian ungkapan adat dikatakan:

Apa tanda Melayu jati
memanfaatkan pantun ia mengerti

Apa tanda Melayu jadi
dengan pantun menunjuk ajari

Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun ilmu diberi

Apa tanda Melayu jati
dengan berpantun membaiki budi

Apa tanda Melayu jati
dengan pantun membaiki pekerti

Apa tanda Melayu bermarwah
dengan pantun menyampaikan dakwah

Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi petuah

Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun memberi amanah

Apa tanda Melayu bertuah
dengan pantun menyampaikan sunah

Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun memberi nasihat

Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun meluruskan kiblat

Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membangkitkan semangat

Apa tanda Melayu beradat
dengan pantun membaiki umat

Apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mengajari orang

apa tanda Melayu terbilang
dengan pantun mencelikkan orang

Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun membaiki diri

Apa tanda Melayu berbudi
dengan pantun mencari kaji

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun menerangi jalan

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi amaran

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun mengenal Tuhan

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun membuka jalan

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pedoman

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun memberi pelajaran

Apa tanda Melayu beriman
dengan pantun ilmu disempurnakan

Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun ia berwasiat

Apa tanda Melayu bersifat
dengan pantun memberi ingat

Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu diturunkan

Apa tanda Melayu pilihan
dengan pantun ilmu disampaikan

Apa tanda melayu pilihan
dengan pantun ilmu dikembangkan

Ungkapan-ungkapan di atas menunjukkan betapa pentingnya peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu. Melalui pantun, tunjuk ajar disebarluaskan, diwariskan, dan dikembangkan. Melalui pantun pula nilai-nilai luhur dikekalkan dan disampaikan kepada anggota masyarakatnya.

Acuan ini menyebabkan pantun Melayu, apa juga jenisnya, tetap mengandungi nilai-nilai luhur yang patut dan layak dijadikan pegangan oleh masyarakatnya. Kerananya orang tua-tua mengatakan bahwa di dalam pantun kelakar atau pantun sindiran atau pantun remaja, tetaplah terkandung nilai-nilai luhur itu. di dalam ungkapan dikatakan di dalam kelakar terdapat tunjuk ajar; di dalam seloroh ada petaruh; di dalam menyindir, terdapat tamsil. Maksudnya, di dalam pantun kelakar, pantun yang bersifat seloroh dan sindir-menyindir ataupun pantun remaja, tetap terdapat nilai-nilai luhur yang dijunjungi masyarakat, walaupun kebanyakannya tidak sesarat yang ada di dalam pantun tunjuk ajar atau pantun adat dan sejenisnya. Sudah difahami orang Melayu, dalam berpantun haruslah tetap menampilkan nilai-nilai luhurnya, menampilkan budi pekerti dan perilaku terpuji. Dalam ungkapan dikatakan di dalam berpantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain menegaskan pantang Melayu membuang cakap, maksudnya dipantangkan bagi orang Melayu berkata yang tidak berfaedah, termasuk dalam pantun memantun. Dengan demikian, walaupun pantun itu bersifat pantun kelakar, misalnya, di dalamnya tetap terkandung nilai-nilai moral, setidak-tidaknya pantun itu tetaplah mengacu pada sopan santun Melayu. Acuan ini menyebabkan pantun semakin berperanan dalam kehidupan orang Melayu.

Dalam pantun “sindir-menyindir” misalnya, terdapat kritikan-kritikan dan “sindiran”, baik terhadap sesama anggota masyarakat mahupun terhadap penguasaannya. Namun, kritik dan sindiran dimaksud dilakukan secara halus dan penuh kesopanan, tidak mengghina dan menista, apalagi membuka aib malu orang, dan sebagainya yang dapat menimbulkan pertelingkahan atau perpecahan. Dalam ungkapan dikatakan menyindir jangan mencibir, maksudnya, menyindir ataupun mengkritik orang lain jangan menghina. Ungkapan lain menegaskan dalam menyindir gunakan fikir, maksudnya, menyindir atau mengkritik janganlah semena-mena, tetapi dilakukan secara arif dan benar, menggunakan akal dan fikiran, tidak memfitnah membabi buta dan sebagainya.

Acuan ini semakin menunjukkan betapa besarnya peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu, kerana melalui pantun “aspirasi” masyarakat dapat disalurkan dengan baik tanpa menimbulkan perpecahan ataupun perselisihan antara sesamanya.

Peranan lain dari pantun adalah untuk “ajuk mengajuk” antara bujang dan dara. Lazimnya acara dilakukan dalam kesempatan tertentu di mana bujang dan dara berpeluang berbalas pantun. Dalam kesempatan itulah mereka “ajuk mengajuk” hati masing-masing yang sering berlanjut menjadi ikatan batin, pertunangan dan perkahwinan.

Pantun remaja (bujang dan dara) ini pun hendaknya dilakukan secara sopan dan santun serta halus, penuh dengan ungkapan-ungkapan. Orang tua-tua mengatakan dalam berbalas pantun, ingat sopan santun. Ungkapan lain mengatakan tanda orang baik hati, dalam berpantun ia berbudi atau bila hendak tahu orang berbudi, pantunnya mengandung budi pekerti.

Dalam mendendangkan anak atau menidurkan anak (dahulu lazimnya di dalam ayunan), orang tuanya membawakan lagu-lagu yang bait-bait pantunnya mengandung doa, petuah amanah, sebagai cerminan menanamkan nilai-nilai luhur mereka kepada anaknya sejak dini.

3. Kandungan Isi Pantun Melayu

Hakikatnya kandungan isi pantun Melayu adalah “tunjuk ajar” yang di dalamnya terdapat nilai-nilai luhur agama, budaya dan norma-norma yang dianut masyarakatnya. Penyampaiannya bervariasi, ada melalui kelakar, melalui sindiran, melalui nyanyian dan sebagainya, sehingga timbul anggapan bahawa pantun Melayu ada yang berisi tunjuk ajar dan ada pula yang hanya hiburan semata-mata. Padahal, bila disemak secara lebih menukik, apapun wujud pantun, tetaplah tidak terlepas dari nilai-nilai luhurnya. Namun memang ada yang tunjuk ajarnya terasa kental dan ada pula yang tersirat yang hanya dapat disemak oleh mereka yang memahami budaya Melayu atau oleh mereka yang memahami hakikat pantun Melayu.

Orang tua-tua mengatakan adat berpantun, pantang melamun, maksudnya dalam berpantun, dipantangkan menyalah atau menyimpang dan melanggar etika dan norma-norma sosial masyarakatnya. Isi pantun haruslah bersifat memberi ingat, tunjuk ajar dan nasihat tidak boleh memfitnah, merendahkan martabat orang lain atau menjatuhkan air muka orang, tidak boleh mengada-ada dan sebagainya yang bersifat negatif.

Di dalam ungkapan lain ditegaskan hakikat pantun menjadi penonton, maksudnya pantun hakikatnya menyampaikan petuah amanah, menyampaikan tunjuk ajar dan nilai-nilai luhur yang dapat jadi tuntunan masyarakatnya. Acuan ini menyebabkan orang Melayu berlaku hati-hati dalam berpantun. Mereka selalu mengingat ketentuan itu, sehingga apapun bentuk pantun yang diucapkannya, selalu mengandung nilai-nilai luhur, sekurang-kurangnya tidak menyalahi nilai-nilai agama, budaya dan norma sosial yang mereka anuti.

Di dalam untaian ungkapan dikatakan mengenai isi pantun Melayu antara lain:

Di dalam pantun Melayu terdapat ilmu:

Ilmu dunia ilmu akhirat
Ilmu tersurat ilmu tersirat
Ilmu dipakai membawa manfaat
Ilmu disemak membawa berkat
Ilmu dikaji membawa rahmat
Ilmu dipegang hidup selamat

Di dalam pantun ada penuntun:

Menuntun kepada yang berfaedah
Menuntun kepada yang semenggah
Menuntun dengan syarak dan sunah
Menuntun dengan adat lembaga
Menuntun dengan amanah petuah

Di dalam pantun ada petunjuk:

Petunjuk kepada yang elok
Supaya badan tidak terpuruk

Petunjuk kepada yang baik
Supaya badan tidak terindik

Petunjuk kepada yang lurus
Supaya badan tiada terjerumus

Petunjuk kepada yang berfaedah
Supaya aib tidak terdedah

Petunjuk kepada yang bermanfaat
Supaya hidup tidak tersesat

Di dalam pantun ada pengajar:

Pengajar kepada yang benar
Supaya hidup tiada tercemar

Pengajar kepada yang betul
Supaya selamat dalam bergaul

Di dalam pantun tersimpan pesan:

Pesan tua untuk pusaka
Pesan muda untuk berjaga
Pesan ilmu untuk diramu
Pesan sunah untuk dimamah
Pesan syarak untuk disemak
Pesan adat untuk diingat
Pesan ibu untuk ditunggu
Pesan bapa untuk dibawa
Pesan saudara untuk dipelihara
Pesan sahabat untuk pengikat

Pesan berisi syarak dan sunah
Pesan berisi petuah amanah
Pesan diturut membawa tuah
Pesan dipakai membangkitkan marwah
Pesan diikut membangkitkan tuah

Di dalam pantun tersimpan adat:

Pertama adat sebenar adat
Kedua adat yang diadatkan
Ketiga adat yang teradat
Bila dikaji ilmunya dapat
Bila dipakai hidup selamat
Bila diikut tiada sesat
Bila diturut banyaklah berkat
Bila diamalkan hidup mufakat
Bila ditaati sengketa tak dekat
Bila difahami hidup bersifat
Bila disemak sentosalah umat

Di dalam pantun tersimpul amanah:

Bila disemak hidup bertuah
Bila dipakai hidup semenggah
Bila digenggam naiklah marwah
Bila dipegang membawa berkah
Bila diturut meluruskan langkah
Bila diikut membetulkan tingkah
Bila dijaga bercahayalah rumah

Di dalam pantun terkandung dakwah:

Menunjukkan orang ke jalan Allah
Menuntun orang kepada akidah
Menerangi orang dengan sunah
Meluruskan dari segala yang salah
Membaikkan dari segala yang menyalah
Membetulkan budi menghaluskan tingkah
Membersihkan hati melembutkan lidah

Di dalam pantun tersirat agama:

Menunjukkan jalan dunia akhirat
Menjauhkan orang dari maksiat
Membersihkan hati yang berkarat
Meluruskan akal yang tersesat
Membaikkan orang yang salah niat
Menghapuskan segala dengaki dan hasad
Mengikis segala perbuatan jahat
Supaya selamat dunia akhirat

Di dalam pantun ada ibarat:

Siapa menyemak maknanya dapat
Siapa faham beroleh berkat
Siapa arif mendapat manfaat
Siapa bijak hidup selamat

Di dalam pantun ada teladan:

Siapa menyemak mendapat pedoman
Siapa cerdik dapat pelajaran
Siapa pandai terbuka jalan
Siapa bijak mendapat sandaran

Di dalam pantun terkandung contoh:

Siapa menyemak hidup senonoh
Siapa memakai takkan bergaduh
Siapa meneladan takkan terkecoh
Siapa memahami takkan terjatuh
Siapa mengkaji takkan mengeluh

Selanjutnya, orang tua-tua menjelaskan pula tentang keberagaman pantun dan kandungan isinya dengan ungkapan-ungkapan antara lain:

Ada pantun “bersenda gurau”
Membuang gelabah menjauhkan risau
Siapa menyemak takkan meracau
Siapa memahami takkan mengacau

Contoh Pantun:

Pisau belati bertali pandak
Dititik-titik matanya hancur
Risaulah hati berbini pekak
Awak berbisik dia tertidur 

Sesaplah ladang berilah tanda
Semaknya dapat dibuat suluh
Sedaplah orang berbinikan janda
Anaknya dapat disuruh-suruh

Kalahlah beruk bermain gasing
Kepala bengkak ditampar tupai
Sudahlah duduk kain tersingsing
Di bawa tegak seluar terburai

Sejak Belatuk pergi kahwin
Siang malam Bayan meradang
Sejak beruk jadi pemimpin
Halal haram dimakan orang

Singapura dilanggar todak
Todak melanggar sehari bulan
Orang tua-tua gilakan budak
Bagaikan beruk kena belacan

Besarlah rumah orang di teluk
Dilihat indah tempat bermain
Besarlah tuah si orang gemuk
Pangkat rendah disangka pemimpin

Leguh legah orang tadarus
Orang tadarus pahalanya besar
Sungguh bertuah si orang kurus
Orang kurus seleranya besar

Besar puntung gesek bergesek
Nyalanya belum sampai sejengkal
Besarlah untung berhidung pesek
Kalau mencium sampai kepangkal

Ada pantun “sindir menyindir
Mengajak orang untuk berfikir
Supaya orang tidak pandir
Supaya ketiak tidak berlendir
Supaya hidup tak kena cibir

Contoh pantun:

Sejak pepuyu jadi almarhum
Banyaklah udang pergi menjenguk
Sejak penghulu jadi peminum
Banyaklah orang jadi pemabuk

Kerana tugal disangka antan
Banyaklah orang tidak ke ladang
Kerana bilal lupakan azan
Banyaklah orang tidak sembahyang

Sejak sepat mecari pepuyu
Banyak buaya naik ke pantai
Sejak mendapat bini baru
Banyaklah kerja tidak selesai

Berpucuk sudah berkuntum sudah
Tinggal berbuah saja yang belum
Berpeluk sudah bercium sudah
Tinggal menikah saja yang belum

Ada pantun “berkasih sayang
Ajuk mengajuk dara dan bujang
Berbalas pantun mata bertentang
Di situ disukat lebih dan kurang
Di situ diukur pendek dan panjang
Di situ dikaji untung dan malang
Di situ ditengok muka belakang
Di situ melekat hukum dan undang
Di situ adat sama dipegang

Contoh pantun:

Naik turun orang ke balai
Bulan balik malam dan petang
Adik sepantun kembang setangkai
Hendak dipetik haram dipegang

Naik turun orang ke rumah
Bulak balik mengejar lalat
Adik sepantun kembang merekah
Hendak dipetik melanggar adat

Dzulkaidah bulan yang baik
Banyaklah orang berhelat jamu
Lemahlah badan mengenang adik
Hendak meminang adat tak tahu

Hendak memepah hari lah petang
Hendak berjalan malam lah larut
Hendak berpisah hati tak tenang
Hendak sepergian belumlah patut

Naik turun menjala ikan
Memasang jala di siang hari
Adik sepantun cahaya bulan
Hilang kemana kan abang cari

Petang jumaat bawa mengaji
Sudah waktunya bawa sembahyang
Abang tak ingat kepada janji
Sesudah layu hamba dibuang

Adat disebut “pantun adat”
Pantun berisi pepatah adat
Pantun mengandung petuah nasihat
Pantun dipakai dalam helat
Pantun dikaji dalam musyawarah
Pantun dicurai mencari mufakat
Pantun dibilang mencapai sepakat
Isinya luas tiada terhad
Di situ undang sama disukat
Di situ hukum sama diangkat
Di situ pusaka sama diingat
Di situ soko sama di tingkat
Di situ umat menunjukkan adat

Contoh Pantun:

Adat kayu berdiri tegak
Tegak tinggi besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi Kitabullah

Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang melayu

Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah laman
Adat mana yang kita pegang
Adat Melayu zaman berzaman

Kuat kayu bercabang besar
Pucuknya tinggi akar melilit
Adat Melayu dibentang lebar
Menutupi bumi dengan langit

Pucuknya tinggi akar melilit
Dahan menjulai berpucuk lagi
Menutup bumi dengan langit
Dalamnya sampai ke perut bumi

Ada disebut ‘pantun dakwah‘
Berisikan syarak beserta sunah
Berisikan petuah dengan amanah
Berisikan jalan mengenal Allah
Berisikan ilmu memahami akidah

Di situ disingkap benar dan salahnya
Di situ dicurai halal dan haramnya
Di situ dibentang manfaat mudaratnya
Di situ didedahkan baik buruknya
Di situ ilmu sama disimbah
Di situ tempat mencari tuah
Di situ tempat menegakkan maruah

Contoh pantun:

Adat orang berjalan malam
Membawa suluh jadi pedoman
Adat orang beragama Islam
Lidah senonoh hati beriman

Orang berkain menutup aurat
Sesuai dengan Quran dan hadis
Orang Muslim hidup beradat
Perangai sopan muka pun manis

Di bulan ramadhan orang puasa
Menahan selera mengekang nafsu
Orang beriman hidup sentosa
Kepada Allah tempat bertumpu

Elok kaki dapat melangkah
Elok tangan dapat memegang
Elok hati mengingat Allah
Elok iman tiada bergoyang

Kalau berlabuh pada yang tenang
Bila berhenti pada yang teduh
Kalau kukuh mengerjakan sembahyang
Di dunia terpuji di akhirat senonoh

Ada disebut “pantun tunjuk ajar”

Di dalamnya terhimpun tunjuk dan ajar
Ada syarak tempat bersandar
Ada adat tempat berkisar
Ada lembaga tempat manakar
Ada amanah menjauhi mungkar
Ada petuah membuang makar
Ada nasihat menghilangkan ingkar
Ada petunjuk ke jalan benar
Ada amanat memelihara sama sabar
Ada ibarat untuk didengar
Ada teladan untuk iktibar

Contoh pantun:

Mengapa sibuk orang di Pekan
Orang membeli sambal ketupat
Buah yang mabuk usah dimakan
Batang berduri jangan dipanjat

Apabila kaki bertumbuk langkah
Surut kembali ke pangkal jalan
Apabila hati kemaruk serakah
Duduk berdiri ditinggalkan kawan

Apabila pelita tidak bersumbu
Mana kan dapat dibuat suluh
Apabila kepala tidak berilmu
Mana kan dapat hidup senonoh

Mengapa banyak lalang tumbuh
Kerana tidak berladang padi
Mengapa banyak orang bergaduh
Kerana tidak mengenang budi

Kalau hendak memilih kain
Pilihlah kain bertapak catur
Kalau hendak memilih pemimpin
Pilihlah pemimpin berakhlak jujur

Dari uraian di atas terlihat betapa beragam dan bervariasinya kandungan isi pantun Melayu. Namun, sebagai inti dari keseluruhan kandungan isinya, tetaplah mengakar kepada syarak dan adat. Apapun bentuk dan jenis pantunnya, nilai agama, budaya, dan adat serta norma-norma sosialnya tetap ada. Orang tua-tua mengatakan bila pantun tidak mengandungi nilai luhur, samalah artinya dengan meracau atau merapik atau menyalah. Melalui ungkapan dikatakan:

Kalau pantun tidak bernilai
Mulut berbuih tak ada memakai

Siapa berpantun tidak berbudi
Tanda dirinya bususk pekerti

Siapa berpantun tidak senonoh
Hatinya kusut fikiran keruh

Siapa berpantun menyakitkan hati
Hatinya busuk fikiran dengki

Siapa berpantun menghina orang
Hatinya busuk akal pun kurang

Bagi orang Melayu sebutan seperti dituangkan dalam ungkapan di atas amatlah mereka jauhi, kerana bukan saja menimbulkan aib dirinya, tetapi memalukan pula kaum kerabat dan orang sekampungnya. Kerananya dalam berpantun, mereka amatlah cermat dan mengikuti “adat berpantun” sehingga pantun yang disampaikannya adalah pantun yang baik dan benar, dan tidak menyalahi maksud dan tujuannya. Hal ini tercermin dari “pantun pembukaan” dalam upacara berbalas pantun yang berbunyi antara lain:

Setambun anak-baranak
Sisiknya lendir berlendir
Minta ampun kepada orang banyak
Pantun kami sindir menyindir

Selanjutnya dalam bagian penutup upacara disampaikan pula “pantun penutup” yang antara lain berbunyi:

Kuala Daik airnya tenang
Di sana biduk menambatkan tali
Mana yang baik bawalah pulang
Bila buruk tinggalkan kami

Menurut orang tua-tua Melayu, “pantun pembukaan” dan “pantun penutup” isinya permintaan maaf seandainya di dalam melaksanakan upacara atau kegiatan itu terdapat kesalahan, baik di sengaja ataupun tidak. Selanjutnya, pantun itu memberi tahu kepada seluruh yang hadir bahawa antaranya mungkin sahaja timbul pantun yang sifatnya sindir menyindir atau kelakar dan sebagainya. Dengan diucapkannya pantun pembukaan dan kemudian ditutup dengan pantun penutup maka segala kesalahfahaman, atau kekeliruan yang terjadi dalam upacara atau kegiatan itu supaya dimaafkan, dan tidak menjadi silang sengketa atau dendam kesumat. Ketentuan ini secara turun temurun sudah difahami oleh orang Melayu.

Kalaupun nantinya ada yang tersalah cakap, tersalah sebut atau tersalah bawa, sudah dimaklumi oleh yang hadir, dan tidak dimasukkan ke dalam hati. Orang tua-tua mengatakan: “kalau sudah meminta ampun, hilang segala dosa berpantun”.

Dalam ungkapan lain ditegaskan pula kewajipan menyampaikan maaf sebelum dan sesudah acara berbalas pantun dilakukan. Ungkapan itu mengatakan antara lain sebelum berpantun, jari disusun; sesudah bermadah, luruskan sembah.

4. Penutup

Ketentuan dan penyusunan rangkap pantun mencerminkan kearifan orang tua-tua Melayu, kerana mereka sudah memahami bahawa dalam berpantun, banyak orang yang melakukan kejanggalan atau kesalahan. Apalagi pemantun yang masih belajar. Kekeliruan itu dapat berupa kesalahan isi pantun (kerana menurutkan emosi berlebihan, perasaan yang tidak senang, dan seterusnya) dapat pula berupa cara penyampaiannya yang kasar langgar, kurang adab, kurang tersusun kalimatnya, dan lain-lain.

Dari sisi lain yang perlu diingat dan dicermati adalah dalam membuat pembayang pantun, banyak terjadi kejanggalan dan kekeliruan, kerana pembayang dibuat semata-mata untuk mencari kesamaan bunyi pada akhir ayat pantun. Padahal, pembayang mencerminkan kearifan kepiawaian orang Melayu dalam memahami perilaku alam sebagai latar, yang dijalin dengan penuh logika, wawasan, kewajaran, keindahan dan perpaduan yang masuk akal. Seorang pembuat pantun seharusnya memilih latar dan kata yang mengandungi nilai, tidak sekadar untuk “pelengkap” sahaja. Itulah sebabnya orang tua-tua mengingatkan membuat pembayang pantun hendaklah dengan akal dan santun; atau dikatakan membuat pembayang, akal nampak fahamnya panjang.

Dengan adanya ketentuan dimaksud, mereka terhindar dari ejekan atau cemuhan, dan terhindar pula dari prasangka buruk pendengarnya. Kalaupun mereka melakukan kejanggalan atau kekeliruan, hal itu dianggap wajar, dan perlu dimaafkan. Adanya saling pengertian ini menyebabkan pantun semakin berkembang dan merata, kerana melalui pantun dapat disampaikan berbagai isi hati dan nilai-nilai luhur serta dapat pula melepaskan perasaan secara terbuka dan bebas di depan khalayak ramai.

Kebebasan berpantun sudah dijamin oleh adat, sepanjang pelaksanaannya tidak menyimpang dari agama, adat, dan norma-norma sosial masyarakatnya. Orang tua-tua mengatakan hendak bebas diberi bebas, asal tidak lupakan diri.  

_______________________

Dr (HC). Tenas Effendy, adalah Budayawan Melayu Riau, pernah menjabat sebagai Ketua Majelis Kerapatan Adat, Lembaga Adat Melayu Riau. Beliau juga sebagai pendiri dan penasehat Tenas Foundation.

Kredit foto : Buku-buku tentang Pantun Melayu tulisan Tenas Effendy yang telah diterbitkan oleh Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu.

 

Sumber : http://melayuonline.com/ind/article/read/544/tunjuk-ajar-dalam-pantun-melayu

 

 


read : 48825

  Bagikan informasi ini ke teman Anda :  




Tuliskan komentar Anda !




Menu utama

Member login




Daftar Anggota | Lupa Password

Profil Penulis





Pembayaran

Bank Mandiri
Rekening Nomor :
137.000.3102288
Atas Nama :
Yayasan AdiCita Karya Nusa

Atau

Bank BCA
Rekening Nomor :
445.085.9732
Atas Nama :
Mahyudin Al Mudra

Konfirmasi pembayaran,
SMS ke : 0852 286 6060 7


atau lewat line Customer Servis di ( 0274 ) 377067
atau email akn@adicita.com atau adicita2727@yahoo.com
atau
Bagian Marketing Proyek
0852 286 6060 7


Profil Penulis

 Online: 89
 Hari ini: 843
 Kemarin : 2.579
 Minggu kemarin : 22.304
 Bulan kemarin : 123.278
  Total : 7.125.116