Jumat ,31 Oktober 2025
Balai Melayu Hotel

Artikel

Kearifan Lokal Dalam Naskah Nusantara Di Pinggir Abad ke 19

18 Desember 2010 13:36:34

Oleh : Ding Choo Ming

Pinggir abad ke 19 adalah zaman pergolakan yang hebat di Nusantara dengan melibatkan kuasa-kuasa Eropah. Kalau perang saudara antara sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan Nusantara yang lain adalah biasa, tetapi yang berlaku di pinggir abad ke 19 telah membawa kepada campur tangan Inggeris dan Belanda di Nusantara sehingga menguasainya. Di Johor, rebutan kuasa yang terjadi selepas kemangkatan Sultan Mahmud itu telah membuat negeri itu sentiasa bergolak, selepas Bendahara Abdul Jalil naik takha tetapi tidak dapat bertahan lama kerana tidak mendapat dukungan daripada rakyat, lebih-lebih lagi setelah munculnya Raja Kecil dari Siak. Setelah meyakinkan orang laut yang menjadi pendukung kuat warisan Bukit Si Guntang, Raja Kecil menggerakkan orang laut merampas kuasa, lantas menjadi raja setelah mengusir Sultan Abdul Jalil. Campur tangan lima bersaudara Bugis itu telah menimbulkan pergolakan besar dalam politik di Johor-Lingga. Pengaruh Bugis dalam percaturan politik di Alam Melayu telah diabadikan dalam Siarah Lingga dan Riau, selain Sejarah Melayu, Tuhfat-al-Nafis, antara yang lain. Perkembangan itu berlaku setelah dua kuasa Barat, iaitu Inggeris dan Belanda, menubuhkan pusat pentadbiran mereka di Melaka, Pulau Pinang, Betawi, Tanjung Pinang, antara yang lain. Kedatangan kuasa barat itu juga disebabkan perdagangan antarabangsa Nusantara yang telah memainkan peranan penting kepada kemakmuran kerajaan di Nusantara, seperti Siak, Johor. Pulau Penyengat, Jambi, Aceh, Palembang, Kelantan, Trengganu, Pasai dan Malaka di sekitar Selat Melaka, selain Pontianak, Maluku, Sambas, Banjarmasin dan Demak. di luar Selat Melaka. Tidak kira apa juga kisah asal usul kerajaan-kerajaan Nusantara itu, kesemuanya telah berkembang menjadi pusat pentadbiran, politik, perdagangan, kebudayaan, kesenian dan pemikiran. Setiap kerajaan itu adalah “feeder points” kepada yang lain, maka membentuk empayar Nusantara yang patah tumbuh dan hilang berganti. Peningkatan kemakmuran kerajaan Nusantara dari masa ke masa itu juga selari dengan semakin rancaknya perdagangan antarabangsa melalui Selat Melaka dan selat-selat yang lain. Perkembangan itu ada kaitan pula dengan pelayaran laut Christopher Columbus (1451-1506), Ferdinand Magellan (1489-1521) dan juga Francis Drake (1540-1596), dan lain-lain yang membuka laluan baru pelayaran dan perdagangan laut, lanjutan kepada pengembaraan Marco Polo (1254-1324) mengikuti jalan sutera dari Venice ke China dan dan telah singgah di Sumatra dalam perjalanan laut balik ke Venice. Selain kota-kota itu, Nusantara diselimuti hutan belantara yang kaya dengan kepelabgaian fauna dan floranya, maka kaya raya dengan kepelbagaian hasil hutan, termasuk rempah rartus, selain hasil buminya.

1. Pendahuluan

1.1 Walaupun diberi tajuk yang khusus tentang agama, sejarah, undang-undang, tata negara dan perubatan, misalnya, tetapi kebanyakan manuskrip Nusantara itu kaya isinya, dan beraneka skopnya. Sebagai produk daripada tradisi kepengarangan zamannya, sebahagian besar manuskrip Nusantara telah merakamkan kearifan lokal dan translokal serta yang lama dan yang baharu, maka adalah penyataan sebahagian besar intelektual pribumi Nusantara yang terpancar di pusat politik, perdagangan dan kebudayaan Nusantara di Aceh, Balikpapan, Banten, Bengkulu, Bima, Bone, Buton, Brunei, Campa, Deli, Demak, Gowa, Inderagiri, Inderapura, Jala, Jambi, Japara, Johor, Kampar, Kedah, Kelantan, Mataram, Melaka, Mempawah, Palembang, Pasai, Pattani, Perak, Pontianak, Pulau Penyengat, Reman, Sambas, Senggora, Setul, Siak, Sopeng (Sulawesi), Terengganu, Ternate, Tidore, Ujung Pandang dan lain-lain. Setiap kerajaan itu adalah “feeder points” kepada yang lain, maka membentuk emporium empayar Nusantara, dalam erti kata saling mengganti dan melengkapkan. Demikian juga dengan manuskrip Nusantara yang kaya isinya dan luas skopnya dengan satu perkara mengait yang lain dan saling melengkapkan sehingga membentuk kearifan lokal Nusantara yang terdiri daripada falsafah, pandangan hidup, pengalaman, kepakaran, kiasan, ibarat, kebijaksanaan, adat resam, kepercayaan, perekonomian, kemasyarakatan kepolitikan, antara yang lain-lain. Kesemua itu adalah epistimologi Nusantara.

1.2 Sehubungan tema simposium ini, banyak isu boleh dibangkitkan tentang kearifan lokal Nusantara itu. Antaranya adalah persoalan sejauh mana kearifan masa silam itu masih sesuai dengan kehendak masyarakat masa kini? Apakah masalah generasi masa kini untuk mengikuti, lebih-lebih lagi mengamalkannya? Apakah impak sistem pendidikan masa kini ke atas pewarisannya di masa depan? Apakah pula yang boleh kita lakukan untuk menyelamatkan, lebih-lebih lagi memanfaatkannya? Apakah kearifan dalam manuskrip warisan itu mempunyai potensi untuk dikembangkan nilai ekonomi, perdagangan, perubatan, pemakanan dan sebagainya? Ini cuma beberapa persoalan yang cuba dijawab dalam kertaskerja ini. Sebelum itu, ingin dinyatakan bahawa sehingga kini jumlah sebenar manuskrip Nusantara belum diketahui walaupun banyak sudah didokumentasi Valentyn (1726), Werndly (1736), Melchior Leydecker (1696), Ronkel (1909), Ricklef dan Voorhoeve (1977) dan juga Chambert-Loir dan Oman (1999). Sebab utama bilangan sebenar manuskrip Nusantara itu tidak diketahui adalah selain yang tersimpan di perpustakaan, museum dan arkib, ada banyak lagi manuskrip Nusantara disimpan dalam koleksi peribadi di Aceh, Bali, Banjarmasin, Bima, Buton, Jambi, Java, Johor, Kelantan, Lombok, Padang, Palembang, Pontianak, Trengganu, dan lain-lain. Sesetengahnya dijaga sebagai pusaka yang tinggi nilainya seperti keris, gading, sejadah, tombak, tongkat, payung dan lain-lain yang dipercayai mempunyai kekuatan sakti. Tradisi itu menunjukkan ada lagi keturunan masa kini, walaupun kecil bilangannya, tetap menghormati artifak yang diwarisi daripada nenek moyang. Penghormatan itu ditunjukkan dengan artifat itu disimpan khas dan dibalut dengan kain kuning, dipuja dan dianginkan dari masa ke masa. Sementara itu, bilangan manuskrip Melayu./Nusantara sebanyak 4,000 naskah yang disebut Chambert-Loir (1980) itu telah meningkat kepada 5,000 naskah yang disebut Ismail Hussein (1981), kemudian naik lagi kepada 10,000 naskah seperti yang disebut Jones (1980). Angka itu cuma berdasarkan anggaran masing-masing dari masa ke masa.

1.3 Peningkatan bilangan manuskrip Nusantara dan salinannya dari masa ke masa - berdasarkan perolehan dan penemuan manuskrip baru – adalah berita baik. Perkembangan yang tidak kurang menggembirakan ialah manuskrip Nusantara sudah tersebar ke 28 buah negara di seluruh dunia, termasuk Africa Selatan, Australia, Austria, Brunei, Germany, Perancis, India, United Kingdom, Malaysia, Indonesia, the Netherlands, Portugal, Spanyol, Russia, Singapura, Sri Lanka, Vatican dan USA (Ding 2005). Penyebarannya ke Eropah pada mula-mulanya telah menarik perhatian ramai sarjana, orientalis dan pegawai tadbir penjajah Belanda dan Inggeris sejak abad ke 19. Kalau minat orang Inggeris dan Belanda masa itu lebih kepada nilai sejarah dan politik dalam teks itu, kerana kepentingan politik dan pentadbiran tanah jajahan Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu, maka minat sarjana dan penyelidik masa kini telah meluas kepada adat resam, hiburan, pertukangan, perbomohan, keagamaan, perundangan, perdagangan, kepengarangan, ketatanegaraan, kehakiman, adat resam, kerohanian dan sebagainya, bukan sahaja untuk kepentingan ilmiah pengkaji yang berkenaan, tetapi juga kepentingan ekonomi, perdagangan, pertanian, pemakanan dan perubatan di masa depan. Sebelum melanjutkan perbincangan, ingin dijelaskan bahawa perbincangan dalam kertaskerja ini terbatas kepada manuskrip bertulis atas kertas, maka tidak meliputi bahan dalam media yang lain, seperti daun lontar di Bali, Lombok dan Java; kulit kayu seperti pustaha di Batak, batu bersurat di Terengganu dan lain-lain.

2. Isi Yang Kaya Dan Kait Mengait

2.1 Lahirnya manuskrip Nusantara dengan isinya yang pelbagai, kait mengait antara satu dengan yang lain itu adalah antara ciri kepengarangan manuskrip di Nusantara (Ding 1999). Tradisi tokok-menokok itu dilakukan kerana pengarang Nusantara masa lalu merasa semua perkara yang penting dan yang perlu diketahui khalayakknya perlu dicatat untuk disimpan dan disebarkan. Jika tidak dilakukan sedemikian, ilmu, kisah, kebijaksanaan, kepakaran dan lain-lain itu akan dilupakan dan hilang seterusnya. Di sinilah terletak kehebatan pengarang dan sekali gus kebesaran teks manuskrip Nusantara. Sehubungan tradisi kepengarangan itu, lahirlah cerita dalam cerita dan teks dalam teks seperti dalam Hikayat Siak juga terdapat peristiwa dalam Hikayat Palembang. Dalam Hikayat Siak diceritakan perkelahian antara Sultan Lema Abang dengan Sultan Anum dengan Sultan Anum menaiki takhta dan Sultan Lema Abang mundur ke Johor, kemudian ke Siantan. Dari situ, Sultan Lema Abang bercadang untuk merampas kembali takhtanya dengan berpakat dengan Daeng Parani dan Daeng Celak, tetapi dilarang Wira Sentik. Akhirnya, Sultan Anum dan Sultan Lema Abang sama-sama menghantar surat kepada Belanda di Betawi untuk meminta bantuan ketenteraan dan perlindungan. Tetapi, Belanda telah memilih untuk membantu Sultan Lema Abang, dan Sultan Anum ditangkap, lalu dibuang ke Belida. Selain itu, dalam Hikayat Palembang diceritakan kisah perang saudara antara Sultan Anum dengan Pangeran Jaya Wikrama yang telah berakhirkan Belanda dibawa masuk ke Palembang. Setelah membuka loji di Palembang, Belanda mempunyai monopoli sepenuhnya ke atas perdagangan bijih timah dan lain-lain. Selain itu, sebagai tanda pengakuan tunduk dan bernaung di bawah sayap Belanda, Sultan Anum dikehendaki menghantar upeti setiap tahun kepada Belanda di Betawi. Sampai di sini ingin disebut bahawa terdapat percangggahan peristiwa antara kedua-dua teks itu. Dalam Hikayat Siak diceritakan Sultan Anum ditangkap dan dibuang ke Belida, tetapi dalam Hikayat Palembang Sultan Anum dikatakan lari ke Jambi.

2.2 Seperti disebut tadi, kisah konflik dan sejarah itulah yang lebih menarik perhatian sarjana pegawai tadbir penjajah dan orientalis masa dahulu kerana motif politik dan ekonomi. Tetapi, isi manuskrip di Nusantara lebih banyak dan besar dari itu. Daripada kisah-kisah itu ternyata bahawa selain faktor politik, pergolakan besar di sekitar Selat Melaka ketika itu juga disebabkan faktor ekonomi, memandangkan semua kota pelabuhan di Selat Melaka adalah juga pusat perdagangan dengan kerajaan masing-masing memang sudah mempunyai jalinan perdagangan dengan negara-negara lain, termasuk China, India dan Arab. Kemakmuran kota-kota pelabuhan di Selat Melaka itu juga ada kaitan dengan semakin rancaknya perdagangan antarabangsa melalui Selat Melaka sejak dahulu lagi. Perkembangan itu boleh juga dikaitkan dengan pelayaran laut Christopher Columbus (1451-1506), Ferdinand Magellan (1489-1521) dan juga Francis Drake (1540-1596), dan lain-lain yang membuka jalan baru pelayaran dan perdagangan laut, lanjutan kepada pengembaraan Marco Polo (1254-1324) menyusuri jalan sutera dari Venice ke China dan telah singgah di Sumatra dalam perjalanannya menaiki kapal balik ke Venice. Sehubungan itu, dalam Nagarakertagama diceritakan bahawa sepanjang tempoh Sriwijaya (abad 7-13) sebuah kerajaan Kienpi (Kampai) di Muara Teluk Haru telah mengirim utusan ke China pada 1281M. Kawasan di sekitar kerajaan Kampai itu telah mengeksport hasil hutan, binatang, emas dan mutiara ke China dan India. Kemakmuran kerajaan ini juga terdapat dalam catatan Cheng Ho yang dibuat Ma Huan, lebih-lebih lagi I-Tching. Selain campur tangan Inggeris dan Belanda dalam percaturan politik di Nusantara di pinggir abad ke 19 dengan menubuhkan pusat pentadbiran mereka di Melaka, Pulau Pinang dan Betawi, antara yang lain., pergolakan di Nusantara ketika itu telah juga membawa masuk Bugis dari Makasar. Pengaruh Bugis dalam percaturan politik di Alam Melayu telah diabadikan dalam Siarah Lingga dan Riau, selain Sejarah Melayu, Tuhfat-al-Nafis, antara yang lain.

2.3 Unsur kepelbagaian isi yang kait-mengait antara satu dengan yang lain dalam teks pensajarahan Nusantara itu boleh juga dijumpai dalam kitab tib, bidang ilmu perubatan Melayu yang khas. Demikian juga dengan teks undang-undang dan warkah. Kalau perhatian orientalis masa lalu lebih tertumpu kepada teks yang berisikan politik dan sejarah, tetapi kini semakin banyak perhatian sarjana dan pengkaji telah diberi kepada kearifan perubatan dan perbomohan dalam kitab tib. Peningkatan minat ‛baru‘ itu bukan sahaja demi kepentingan penyelidikan akademik, tetapi juga ingin memperkembangkan potensi kearifan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit yang belum dapat diubati perubatan moden dari barat. Ini bermakna yang berbau tradisional itu tidak semestinya yang tidak baik. Selain kuman yang mungkin dapat dibunuh dengan ubat dari barat, punca banyak penyakit juga disebabkan gangguan daripada orang halus, hantu, syaitan, semangat dan jins misalnya. Ini juga bermakna bahawa rawatan kepada penyakit adalah lebih daripada agen penyakit yang disebut sebagai kuman dan virus yang dipelajari doktor, tetapi juga doa, jampi, serapah, mantera dan azimat yang diketahui bomoh dan pawang. Mereka ini pandai menolak bala dengan menggunakan ilmu nujum, ilmu bintang dan kepercayaan tentang semangat, jins, orang halus dan hantu pada pokok, bunga, api, kayu, minyak, antan, lesung dan sebagainya. Walaupun kelihatan tidak saintifik, tetapi benar. Oleh sebab itu, Khatijah Terung, misalnya, kerap diundang ke majlis perkahwinan di Pulau Penyengat kira-kira 100 tahun yang lalu. Kehadirannya bukan sahaja dapat menyerikan majlis perkahwinan yang berlangsong, tetapi juga menjamin kedua-dua pengantin baru itu tidak diganggu orang halus. Dengan itu, majlis perkahwinan dapat berjalan dengan lancar. Sebagai bomoh, Khatijah Terung juga minta orang yang ingin mengamalkan ilmu pengasih, misalnya, mematuhi pantang larangnya (Ding 2002). Itulah kehebatan ilmu perubatan kitab tib di Nusantara sehinggakan ilmu itu kental di kalangan orang tua di kampong sampai hari ini. Kehebatan lain pada kearifan kitab tib bukan sahaja memperkatakan penyakit, jenis dan namanya, tetapi juga ubat dan rawatannya meliputi pemerolehan ilmu, penanaman pokok, perujukan waktu, kemahiran dan pengalaman tabib, nama tumbuhan yang menjadi ramuan ubat, lebih-lebih lagi penyediaan ramuan dan kaedahnya. Lihat ramuan, kaedah rawatan kepada sakit perut, sakit gigi dan batuk dalam Kitab Bustan al-Arifin (MS 1076) PNM: 96) seperti yang dipetik Wan Ali Haji Wan Mamat (1995: 141):

“Bawang putih khasiatnya hangat lagi kering pada darjat yang ketiga faedahnya menghancurkan segala angin dan menghilangkan senak di dalam perut. Lagi memberi manfaat daripada penyakit salah air dan menyembuhkan sakit gigi dan batuk dan menyembuhkan sakit dada yang sejuk dan mengeluarkan darah di dalam perut kelang-kelang dan mengeluarkan darah. Khasiatnya dan mengeluarkan tambun. Tetapi memberi mudharat mata.”

Daripada senarai ubat yang menggunakan tumbuhan dalam kitab-kitab kedokteran ternyata bahawa orang di Nusantara masa dahulu rapat dan mesra sekali dengan alam semula jadi, maka tidak menebang pokok dan memusnahkan alam sekitar seperti masa sekarang.

2.4 Walau bagaimana pun, ubat dan rawatan dari negara barat lebih popular masa kini. Antara sebabnya ialah penyediaan ubat dan rawatan perubatan tradisional itu rumit sekali, sedangkan yang dikehendaki pesakit masa kini adalah ubat yang senang didapati dan rawatan yang ringkas dan cepat, seperti menelan 100l macam pil yang boleh dibeli dari kedai ubat dan farmasi. Demikian juga dengan 100l macam suntikan di klinik dan hospital. Susah, lambat dan “messey”nya penyediaan ramuan ubat tradisional pada masa kini bukan sahaja kerana banyak tumbuhan yang dikehendaki itu sudah payah dicari lagi, tetapi juga bilangan bomoh dan pawang sudah semakin kecil. Selain itu, berapa orang masa kini tahu di mana boleh dicari akar mentua kancu, akar balik adu, akar janggut manis, akar minyak-minyak dan daun cenari jintan hitam? Lecehnya penyediaan ramuan ubat tradisional itu boleh juga dilihat dalam petikan yang diambil daripada Kitab tib (Kitab Kedokteran) (Ms 699 di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia) :

Bab ini angin yang meradak atau senak atau menikam kepada ronak belikat atau hulu hati sebak senak, maka ambil akar mentua kancu dan akar balik adu? Dan akar janggut manis, dan akar minyak-minyak atau jeramkan atau minum. Afiat. Ini ubat medu. Maka ambil daun limau nipis dan kulit pohonnya dan akar. Maka semburkan pada tempat sakit. Afiat. Ini ubat medu. Maka ambil akar minyak-minyak dan daun cenari jintan hitam dan jintan putih bangi. Bawang putih. Maka giling lumat-lumat. Maka minum tiga pagi. Afiat. (Wan Ali Haji Wan Mamat 1995: 139)

2.5 Tetapi, memikirkan banyak penyakit dan masalah kesihatan yang sukar dirawati di hospital atau makan ubat dari negara barat itu telah sembuh dengan ubat tradisional, dengan disertai doa, mantra dan jampi yang disediakan pawang, bomoh dan tukang urut di kampong, maka ilmu perubatan tradisional masih ada tempatnya di zaman serba moden ini. Ini juga bermakna bahawa khasiat (property) perubatan dalam tumbuhan yang sudah dimanfaatkan turun-temurun oleh orang di Nusantara perlu diberi perhatian ilmu perubatan moden. Misalnya akar Tongkat Ali untuk kekuatan batin lelaki dan Kacip Fatimah untuk menjaga kesihatan ibu selepas bersalin. Di sini, kita perpanjangkan harapan agar banyak lagi kajian boleh dijalankan di makmal di universiti dan institut penyelidikan perubatan ke atas nilai-nilai dan khasiat perubatan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah atau tumbuhan yang lain agar boleh dihasilkan ubat baru untuk penyakit, seperti ubat quinine yang disaring daripada pokok di Latin Amerika, atau ginko dan ginseng di China, Jepun dan Korea. Kesedaran tentang khasiat tumbuhan perubatan itu diharap akan meningkatkan lagi kesedaran kita untuk melindungi alam sekitar kita dalam erti kata kita tidak akan menebang pokok dengan sewenang-wenang seperti sekarang. Sementara itu, banyak buku perubatan tradisional dengan menggunakan ramuan perubatan tradisional daripada akar dan kulit kayu, pucuk pokok dan buah dan juga binatang, memang laku. Kesemua itu adalah bukti lain tentang kepercayaan orang di Nusantara terhadap ilmu perubatan tradisional, yang sebahagiannya telah dicatat dalam kitab tib

2.6 Walaupun pendek dan berfungsi sebagai saluran komunikasi, banyak maklumat sosio-ekonomi dan politik boleh juga didapati daripada warkah, satu lagi manuskrip di Nusantara, yang sudah dikaji Annabel Teh Gallop, Ab Razak Karim dan lain-lain. Surat menyurat antara kerajaan di Nusantara dengan “rajah putih” di Nusantara atau di Eropah, lebih-lebih lagi dengan raja di China dan lain-lain bukan sahaja adalah petunjuk tentang hubungan diplomatik kerajaan Nusantara dengan kerajaan lain, tetapi juga menunjukkan kerajaan Nusantara adalah yang berdaulat, berwibawa, bebas dan merdeka, walaupun perkara rasmi yang lazim disuratkan itu adalah tentang kebenaran berdagang, cukai, pengistiharaan pertabalan, perkahwinan dan penaklukan. Inilah kearifan yang boleh didapati di sebalik isi kandungan lain yang disuratkan. Sekiranya Surat daripada John Hendric Tobias kepada Seri Paduka Siultan Syarif Uthman ibni al-Marhun Sultan Syarif Abdul Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak, bertarikh 5 April 1832 (MSS 2285 PNM) berisikan maklumat bahawa John Hendric di Betawi ingin menemui Sultan Syarif, tetapi dalam Surat Perlantikan Seri Paduka Raja Ali Abdillah Sebagai Raja Muda daripada Gabenor-Jeneral Nederland-Hindi, bertarikh 9 Geb 1858 (MS 2138 PNM) pula berisikan maklumat bahawa govenor-jeneral Nederland-Hindu di Bogor ingin mengistiharkan Seri Paduka Raja sebagai Raja Muda di Riau, selain menggesa semua orang di Riau menunjukkan taat setia kepada baginda. Kedua-dua warkah itu ternyata berlainan isi dan mesej. Kalau yang pertama itu surat peribadi, tetapi surat yang kedua rasmi sifatnya, malahan semacam arahan dan perintah. Maklumat dan kearifan yang berlapis-lapis itu boleh juga dicari dalam Light Letters (Ms 40320/3 di Perpustakaan SOAS) (Ahmad Jenali Halimi 2006: 300; Wan Shamsuddin Mohd Yusof 2006). Antaranya ialah kerajaan penjajah British di Pulau Pinang minta kerajaan Kedah membekalkan barang makan dan minum. Daripada maklumat itu ada banyak kearifan boleh didapati. Pertama ketidak seimbangan pembangunan antara Kedah (mewah) dengan Pulau Pinang (miskin) dan juga hubungan diplomatik antara kerajaan Kedah dengan kerajaan penjajah Inggeris di Pulau Pinang. Kedua, ketiga dan seterusnya adalah kearifan tentang penghantaran surat dan pembekalan barang minum dan makan antara kedua-dua tempat yang terpisah dengan laut itu tentunya bergantung pada perahu dan sampan, maka memerlukan nakhoda, buruh, jalur pelayaran dan keselamatannya Kesemua itu hanya berlaku dengan adanya pelabuhan dan pangkalan dengan adanya gudang dan lain-lain. Kearifan yang seterusnya daripada nama nakhoda yang disebut itu, termasuk Gussin Sab, Bapu, Alias, Lebai Marikan, Ipalu dan lain-lain yang terdiri daripada orang Melayu, nahkoda bukan-Melayu, termasuk orang India Muslim dan Cina itu adalah nota kaki penting tentang permulaan pembentukan masyarakat majmuk di Nusantara seperti yang ada masa kini.

2.7 Banyak lagi kearifan yang mempunyai kepentingan sosio-politik yang lain boleh didapati daripada surat yang lain. Dalam Surat daripada Sultan Idris Mursyid al-Azim Syah Yang Dipertuan Negeri Perak kepada Tengku Mahmud ibni Almarhum Sultan Ahmad di Negeri Kelantan, bertarikh 9 Jun 1896M (MSS 2141, PNM), baginda membalas budinya dengan menghantar dua keping kayu kemuning untuk dibuat keris setelah menerima dua helai kain sutera dalam surat daripada Wan Muhammad Ali (Siti Mariani S. M. Omar 2006). Perhatian kita tertarik kepada kain sutera dan kayu kemuning yang bertukar tangan antara dua orang sahahat daripada golongan kaum bangsawan. Seterusnya, Raja Haji Abdullah (Yang Di Pertuan Muda Riau) dalam surat yang bertarikh 7 Ogos 1858 telah meninggalkan wasiat supaya jenazahnya “ditanam seperti orang fakir, bukan seperti raja-raja”, selain menasihati orang ramai agar mengamalkan sifat mulia dan menjauhkan diri daripada perbuatan buruk, seperti berhasad dengki. Isi dan mesej surat Raja Haji Abdullah itu perlu dikaji bersama-sama dengan suratnya yang lain yang telah ditulis kepada von de Wall pada 7 Disember 1866 yang menyatakan bahawa yang dilakukannya bukan untuk dirinya, kerana dirinya sudah tua, “... tetapi orang-orang di belakang saya kelak boleh mengambil ibarat dan teladan, barang yang kebajikan itu mendapat. Kebajikan jua akhirnya dunia dan akhirat adanya”. Kearifan Raja Ali Haji dalam kedua-dua surat itu boleh dirujuk dalam kajian van der Putten dan al-Azhar (1995). Seterusnya di Arkib Negara Cawangan Kedah terdapat koleksi surat daripada Sultan Abdul Hamid Halim Syah, sultan Kedah yang ke II. Kesemua suratnya yang sepanjang 2,951 halaman dan berarikh 1882-1943 itu beranekaragam isinya: kisah majlis mesyuarat, hal ehwal kerajaan Siam dan pembesarnya, hal peribadi baginda sultan, bertanyakan khabar berita, berjual beli, menuntut hutang, meninggalkan wasiat, pembahagian harta, pesan tentang pengebumian, kiriman hadiah (gula, kopi, teh, kain, kayu dan sebagainya). Surat yang berupa catatan diari baginda sultan itu telah diiktiraf UNESCO sebagai World‘s Documentary Heritage pada 27 Ogos 2002. Seterusnya ingin dinyatakan bahawa isu keselamatan negara telah dibangkitkan dalam dua pucuk surat daripada Sultan Abu Hayat di Ternate kepada Raja Portugal, John III pada 1521 dan 1522: Sultan Abu Hayat mengadu tentang perbuatan jiran musuhnya, Tidore, yang rapat dengan Spanyol, maka menimbulkan ancaman keselamatan kepadanya.

2.8 Sebelum ini telah dinyatakan bahawa kemakmuran Nusantara telah menarik pedagang dari seluruh dunia. Tetapi, kemakmuran itu tidak akan kekal tanpa adanya undang-undang sebagai perisai untuk melindungi keselamatan nyawa dan harta benda, bagi menjamin keamanan sosial dan negara, landasan kepercayaan pedagang datang ke Nusantara. Sehubungan itu, banyak teks tentang pelbagai aspek undang-undang sudah dikarang. Antaranya ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Kanun Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Johor, Undang-Undang 99 Perak, Adat Aceh, Undang-Undang Perahu dan Undang-Undang Belayar Dalam teks undang-undang perdagangan dinyatakan peraturan dan hukum hakam berjual beli, sewaan, timbangan, hutang piutang, bunga, gadaian dan denda. Kesemua itu penting untuk melindungi keselamatan awam, selain melicinkan pentadbiran sistem ekonomi dan perdagangan. Selanjutnya, sistem perundangan Adat Perpatih yang dilaksanakan di Negeri Sembilan dinamakan sebagai Kanun Sungai Ujong. Ia mencatatkan sistem perundangan yang berpaksikan terombo. Antara contohnya ialah “Pulai berpangkat naik, membawa ruas dengan buku, manusia berpangkat turun, membawa adat dan lembaga”, maka lain daripada sistem perundangan dalam Hukum Maksiat (MS 783, PNM) di Kelantan yang berisikan maklumat dan kearifan ulama menasihati sultan agar tidak melanggar ajaran Islam dalam pentadbiran negara untuk kepentingan kesejahteraan rakyatnya.

2.9 Sehubungan pentadbiran negara, banyak teks ketatanegeraan yang khusus seperti Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin,, Nasihat al-Muluk dan Kitab Nasihat Raja-Raja dan Thamarat al-Muhimmah telah dikarang, di samping teks lain yang menegur sultan yang zalim supaya adil dan saksama dalam pentadbiran negara di celah-celah cerita yang lain, seperti Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalatus Salatin dan Hikayat Banjar. Kearifan dalam teks ketatanegaraan ialah raja/ sultan yang adil, saksama dan bertanggung jawab itu adalah tonggak pemerintahan yang aman dan sejahtera. Setelah mengkajinya, Jelani Harun (2006) mendapati isi kandungan Sahibul Kitab Sultan Zainal Abidin (Muzium Kuala Terengganu) telah disalin daripada bab III Bustan al-Salatin, karya Nuruddin al-Raniri di Aceh pada 1638. Tujuannya adalah untuk menerangkan konsep keadilan, keimanan, sifat pemurah, berani, jujur, sabar, sopan santun, hidup sederhana, rendah diri, amanah, rajin dan ikhlas. Yang menarik ialah teks itu dikarang Sultan Zainal Abidin III dua tahun selepas baginda menaiki takhta kerajaan Terengganu ketika berusia 18 tahun. “Pengarangan” teks itu sekali lagi mengatakan bahawa dalam tradisi kepengarangan Melayu segala yang baik perlu dikekalkan untuk dijadikan ikhtibar generasi baru. Di sini, karya ketatanegaraan khusus itu diperlukan untuk menegur kelemahan raja, termasuk tertunduk kepada nafsu dan kegelojohan, lebih-lebih lagi mengetepikan nasihat dan pesan raja sebelumnya, walaupun kisah kejatuhan kerajaan yang dikaitkan dengan kezalimannya itu adalah kiasan dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalatus Salatin dan Hikayat Banjar: kejatuhan raja dan kerajaannya kerana melanggar persetujuan antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, misalnya, Tun Abdul Jalil dibunuh ayahnya, Sultan Ahmad, akibat cemburu dengan Puteri Gemerencang dari Majapahit kerana memilih anaknya sebagai suami. Selanjutnya dalam Syair Raja Muda Perlis telah juga diselitkan pengajaran di celah-celah naratif yang indah: mala petaka menimpa raja yang tidak dapat mengawal nafsu, kemurkaan, keberahian dan cepat menghukum Nafsu melulu dikaitkan dengan kejatuhan raja dan kerajaannya itu juga terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Dengan kata lain, pengarang masa dahulu merasa diri mereka bertanggong jawab untuk menegur raja supaya insaf dan membaiki kelemahan dirinya, selain dikehendaki mengarang karya yang indah untuk halwa telinga, Ini bermakna karya sentiasa bersifat diaktif, sebagai pedoman dan cermin untuk khalayaknya untuk berbuat baik bagi mengekalkan keharmonian masyarakat. Sehubungan itu, perbuatan keji sumbang mahram dengan hukumannya boleh didapati dalam Undang-Undang Kedah:

“Bunuh dengan kematian yang keji dan daging darahnya pun tiada harus diberi kena atas bumi negeri itu... dibuangkan bangkainnya itu ke tengah lautan dan ke tengah rimba belantara yang bukan tempat jajahan negeri. Jika ada gugur ke bumi daripada daging darahnya harus disuruh gali ambil buangkan ke laut. ” (Mahani Musa, 2006: 272)

3 Peningkatan Minat Kepada Kearifan Lokal

3.1 Sampai di sini ingin diyatakan bahawa semakin banyak kearifan lokal dalam manuskrip Nusantara telah diperlekehkan dan ditinggalkan generasi baru, kerana sudah didapati kurang sesuai dengan kehendak dan keperluan baru, lebih-lebih lagi kalah kepada kearifan baru yang diimport dari negara barat, yang menjanjikan penyelesaian baru kepada masalah lama kita. Walaupun penggantian itu adalah proses yang biasa dan logikal, tetapi kita perlu sedar bahawa bukan semua kearifan lokal turun-temurun itu sudah tidak sesuai lagi masa kini. Misalnya, kearifan yang tinggi nilai moralnya dalam peribahasa, seperti berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit dan ala bisa tegal biasa yang mengalir dari Sejarah Melayu seharusnya boleh dijadikan pedoman hidup kita untuk selama-lamanya. Di sini kita patut berterima kasih kepada pertubuhan di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk World Health Organization dan UNESCO kerana sudah lama berusaha untuk menyelamatkan kearifan, teknologi, ilmu dan kepakaran di seluruh dunia, lebih-lebih lagi negara-negara membangun, memandangkan 80% penduduk di negara membangun masih bergantung pada kearian dalam ilmu perubatan tradisional untuk menjaga kesihatan dan merawat penyakit mereka. Sehubungan itu, banyak bank gen sudah ditubuhkan untuk mendokumentasi, menyelamatkan dan mengkaji spesis tumbuhan, serangga, haiwan dan ikan sebelum pupus. Memandangkan negara maju sudah kehilangan sebahagian besar sumber alamnya, maka harapan kini telah dialih kepada negara membangun yang masih mempunyai banyak hutan dara, maka diyakini masih mempunyai kepelbagaian biologi (biological diversity), termasuk flora dan fauna, yang boleh dikaji potensi khasiat perubatan, pemakanan, pertanian dan lain-lain untuk dikembangkan menjadi kuasa ekonomi dan perdagangan baru di masa depan. Tetapi, di sinilah juga terletak paradok penduduk negara membangun, termasuk Nusantara, kerana merasa gembira di satu pihak lantaran memiliki kekayaan sumber asli, tetapi bingung di satu pihak yang lain, lantaran ditegah dari mengekploitasi kekayaan alam tadi. Lazimnya untuk membangun, negara membangun dikehendaki menerima teknologi dan kearifan baru dari barat. Tetapi, penerimaan teknologi dan kearifan baru dari barat sudah membawa banyak perubahan kepada sikap, nilai, cara kerja, interasi sosial, malahan pandangan hidup dan kearifan penduduk di negara membangun. Penggantian kearifan, nilai, tradisi, kepakaran, teknologi, ilmu dari yang lama dan lokal sifatnya kepada yang baru dan yang global sifatnya itu jelas kelihatan pada orang kampong setelah digalakkan menanam pokok getah, kelapa sawit, cocoa dan tanaman lain untuk pasaran ekonomi baru dan bukan lagi menanam padi untuk sara diri seperti masa dahulu. Penggantian itu juga telah menimbulkan percanggahan tamadun (clash of civilization) istilah Samuel P Huntington 1993). Dalam konflik itu, generasi muda yang mahu membebaskan diri dari cengkaman kemiskinan dan kemunduran di kampong itu telah kuat dipengaruhi budaya barat setelah berpindah ke bandar. Perubahan sosio-budaya itu telah membentuk golongan manusia baru di Nusantara: orang timur, tetapi berfikiran barat, maka mendapati mereka sukar diterima masyarakat timur dan barat!

3.2 Perkembangan itu bertentangan dengan minat orang Eropah yang tertarik hati kepada bahasa, budaya dan sastera di luar negara Eropah setelah dibuai gelombang Romantisme sejak abad ke 18. Minat orientalis, pegawai tadbir, agen mubaligh Kristian dan pedagang Inggeris dan Belanda khususnya, Perancis dan German amnya sejak abad ke 19 kepada sastera, budaya dan bahasa Nusantara berkait rapat dengan penawaran kursus pengajian Nusantara di institut latihan pegawai tadbir Belanda di Delft yang ditubuhkan pada 1842, lebih-lebih lagi penubuhan kerusi pengajian Java/ Melayu di universiti Leiden pada 1877 dan juga krusus seumpama itu di School of Oriental Studies, University of London pada 1916. Selain tesis dan buku, sudah ada ribuan rencana tentang Nusantara diterbitkan dalam jurnal perdana ketika itu.. Antaranya adalah:

1. Verhandelingen van het Bataviaasch Genootschap, VBG, (1779-1950),
2. Tijschrift voor Nederlandsch-Indie (1838-1902),
3. Indisch Tijdschrift voor het Recht (1915-1942),
4. Tijdschrift voor Indische Taal-, Land- en Volkenkunde, TBG (1853-1958),
5. Indische Gids (1879-1941),
6. Djawa (1921-1941),
7. Koloniale Studien (1916-1941),
8. Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, BKI, 1852-
9. Journal of Straits [kemudian Malayan /Malaysian] Branch of the Royal Asiatic Society 1878 -
10. Journal of the Indian Archipelago & Eastern Asia, 1847-1859

3.3 Tidak kira sebanyak mana kajian telah dilakukan selama ini, banyak lagi teks Nusantara perlu dikaji, selain diteruskan usaha untuk membaiki dan membetulkan kesilapan dalam kajian lama. Sehubungan itu, kita patut berterima kasih kepada penyelidik, sarjana dan pakar pengajian Nusantara kerana mengkaji kearifan dalam manuskrip Nusantara. Antaranya adalah Abdul Samad Ahmad, Abu Hassan Sham, Barbara Watson Andaya, C. C. Berg, C. O. Bladgen, V. I. Braginsky, L. F. Brakel, J. Brandes, Henri Chambert-Loir, G. W. J. Drewes, E. Dulaurier, Annabel Teh Gallop, Haron Daud, Harun Mat Piah, Ismail Hussein, A. Ikram, Jamilah Haji Ahmad, A. H. Jones, Russell Jones, P. E. De Josselin, Kassim Ahmad, J. Kats, Khalid Hussain, H. C. Klinkert, G. L. Koster, E. U. Kratz, J . Leyden, Liaw Yock Fang, Denys Lombard, H. M. J. Maier, William Marsden, Virginia Matheson, W. E. Maxwell, Mohd Taib Osman, Mohd Yusof Md Nor, Muhammad Haji Salleh, Muhammad Yusoff Hashim, S. W. R. Mulyadi, E. Netscher, Noriah Taslim, Noriah Mohamed, Ch. A. Van Ophuysen, H. Overbeck, B. B. Parnickel, Th. Pigeaud, J. Pijnappel, Poerbatjaraka R. M. Ng, J. J. Ras, Ph. S. Van Ronkel, R. Roolvink, P. P. Roorda van Eysinga, W. G. Shellabear, Siti Hawa Salleh, Cyril Skinner, Amin Sweeney, Syed Muhammad Naguib Al-Attas, A. Teeuw, Teuku Iskandar, Rogel Tol, H. N. Van der Tuuk, P. Voorhoeve, R. O. Winstedt, Yusoff Iskandar dan Monique Zaini-Lajourbert. Daripada kajian mereka, lebih banyak kearifan lokal yang terpendam dalam manuskrip Nusantara itu sudah ditafsir, dibongkar dan disebarkan Cabaran kini adalah bagaimana membuat kajian-kajian itu dapat dicapai dengan lebih mudah dan cepat agar boleh dimanfaatkan dengan lebih baik. Selagi tidak ada kajian baru atau teks lama dikaji semula, selama itulah maklumat baru tentang kearifan lokal dalam teks, misalnya Salasilah Tambusai, (Cod ML 100, Perpustakaan Nasional Indonesia) tidak akan diketahui. Setelah dikaji Bazrul Bahaman (2006), kita mendapat tahu bahawa teks itu berisikan salasilah raja di Rambah, Mandang Kota Raja, Kepenuhan dan Mandung Kota Raja di Rokan, di Sumatera Timur. Lanjutan daripada itu, kita juga mengetahui lebih banyak maklumat tentang kesultanan Melayu lain di Sumatera Timur seperti di Deli, Serdang, Binjei, Medan, Tebing Tinggi, Tanjung Balai, Haru, Asahan, Bilal, Panai, Pinang, Tamiang dan Langkat daripada masa sebelumnya. Demikian juga kisah tentang Palembang (yang bermula pada abad ke 16) dan yang telah mencapai puncak kegemilangannya semasa Sultan Mahmud Badaruddin I (1724-1757) sebagai pusat pengeluar lada, maka telah menarik perhatian orang Belanda untuk menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengannya. Dan seterusnya kisah tentang hubungannya dengan Sambas (Borneo), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan kesultanan Brunei. Perkembangan semua kota-kota itu telah menemukan kita dengan serangkaian kota-kota kesultanan Melayu yang lain yang sebahagiannya cuma tinggal nama dalam lipatan sejarah, mengikut rentak bangun jatuhnya empayar Melayu dari masa ke masa. Sejarah perkembangan kota-kota itu telah juga meluaskan skop perbincangan kita tentang sejarah perkembangan kesultanan Nusantara masa lampau, dengan setiap satunya mempunyai sistem pemerintahanya, kedaulatan dan persempadanannya, selain kebesaran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, pengasas empayer Aceh dalam Hikayat Acheh, atau Sultan Iskandar Dzulkarnain di Perak diagung-agungkan dalam Misa Melayu, atau kisah peperangan seperti yang diceritakan dalam Syair Musuh Kelantan, Hikayat Seri Kelantan dan Riwayat Kelantan, antara yang lain-lain.

3.4 Pentingnya kearifan masa lampau kepada masa depan sudah berulang kali dibangkitkan dalam pelbagai seminar dan program yang dilancarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk International Year of the World Indigenous People pada 1993 dan juga Earth Summit di Rio de Janeiro, Bazil, pada 1992. Sehubungan itu, UNESCO, telah berusaha dengan gigih untuk menyelamatkan dan menonjolkan kegemilangan warisan budaya lokal di serata dunia melalui pelbagai programnya, termasuk World Heritage. Usaha penyelamatan dan penonjolan itu penting untuk menebus semula kegemilangan tamadun masa silam di satu pihak, dan memanjangkan harapan agar manusia masa kini perlu berilhamkan kearifan dan teknologi lokal masa lampau untuk masa depan di satu pihak yang lain, memikirkan bahawa 80% orang di negara membangun masih bergantung pada cara hidup tradisional, termasuk mendapat rawatan mereka daripada perubatan tradisional. Selain itu, lebih daripada 2/3 atau 35,000 spesis tumbuhan yang didapati mempunyai potensi perubatan dan pemakanan di muka bumi ini hanya terdapat di negara Afro-Asia dan Latin Amerika. Usaha menyelamatkan tumbuhan-tumbuhan dan hasil bumi yang lain itu diharap boleh memberi alternatif (laluan) baru untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran dan kebuluran di negara membangun yang mempunyai 2/3 penduduk dari dunia ini, sekaligus menyelamatkan budaya lokal sebagai jaminan untuk survival umat manusia di dunia ini pada masa depan. Sehubungan itu, nilai perubatan sebahagian tumbuhan yang sudah diketahui penduduk pribumi masa silam itu perlu dikembangkan potensinya untuk mengubati banyak lagi penyakit yang tidak boleh diubati dengan ubat moden dari negara barat. Cabaran kini ialah bagaimana memanfaatkan kepelbagaian kearifan lokal dalam teks dan tradisi lisan tetapi didapati kurang saintifik itu untuk kepentingan perubatan, pertanian dan pemakanan manusia selanjutnya. Sampai di sini seyogia dinyatakan bahawa sebelum datangnya orang Eropah, tidak ada masalah kemiskinan dan pengangguran di Nusantara seperti sekarang. Sejak dahulu lagi, orang pribumi di Nusantara sudah tahu, maka pandai mengekalkan “sustianable development” yang difahami sekarang, lebih-lebih lag telah membina kegemilangan kerajaan sehinggakan boleh meninggalkan artifak budaya, termasuk manuskrip, yang menarik perhatian orang Eropah di merata-rata tempat di Nusantara. Misalnya, orang Melayu di Kedah telah didekati Francis Light untuk membekalkan barang makan dan minum kepada “rajah putih” dan pekerjanya di Pulau Pinang seperti yang telah disebut sebelum ini. Tetapi kini, penduduk pribumi di Nusantara dipandang sebagai yang mundur, miskin dan malas, selain tradisi mereka, termasuk pegangan mereka kepada hak ke atas tanah pusaka mereka itu dianggap sebagai yang kolot, seolah-olah penghalang kepada pembangunan dan pemodenan masyarakat

3.5 Pandangan negatif seumpama itu sangat berbahaya, sekalipun setengah amalan dan kearifan lokal warisan itu sudah tidak sesuai dengan kehendak dan rentak hidup kita di zaman ICT berteknologi tinggi masa kini. Selain itu, padangan itu juga amat bertentangan dengan minat orang Eropah sendiri di zaman Romantis terhadap amalan tradisional dan kearifan pribumi orang India Merah di “dunia baru” (Amerika). Selama 200 tahun, tradisi dan kearifan pribumi orang India Merah yang aneh dan menarik (quaint), maka luar biasa itu sudah menarik minat mereka, dan bukannya diperlekehkan atau dipandang sebagai yang diragui (quackery) nilainya. Sehubungan itu, kita sekali lagi merasa amat berterima kasih kepada United Nations Development Program kerana telah membuka pintu hati kita untuk menyedari bahawa kearifan, maklumat, pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan unik dalam teks manuskrip itu perlu dikembangkan sehingga dapat menghasilkan penemuan baru (breakthroughs) di bidang perubatan, pemakanan dan pertanian, misalnya. Ini bermakna negara membangun, termasuk Nusantara, mempunyai banyak pilihan untuk pembangunan. Cabarannya ialah bagaimana dapat dimanfaatkan dan diimbangi kearifan lokal dengan kearifan barat dalam usaha pemodenan dan peningkatan taraf hidup itu. Demikian juga kita mesti tahu membezakan kaca daripada permata. Selain itu, sudah disebut sebelum ini bahawa tidak timbul masalah kebuluran, pengangguran dan kemunduran di Nusantara sebelum datangnya orang Eropah. Masalah itu timbul ekuran penjajahan politik, ekonomi, mental dan maklumat di tangan penjajah dari Belanda, Inggeris dan kemudian Jepun di pinggir kurun ke 19. Sebelum itu, rakyat jelata dan raja-raja Nusantara pandai mengurus tanah, pelabuhan, perdagangan, keselamatan, politik, ekonomi dan lain-lain sesuai dengan sistem and kearifan lokal, baik di kampong atau kota besar di muara sungai dan pesisir pantai dengan tempat yang lain diselimuti hutan. Untuk memahami adat resam dan cara hidup penghuni pribumi, orang Eropah sendiri merasa perlu untuk mempelajari bahasa, sastera dan budaya Nusantara. Ini diikuti langkah mereka menawan Nusantara dan menakluki ekonomi, politik, sosio-budayanya. Hajat itu sudah dicapai dengan lebih mudah berikutan setengah raja di Nusantara meminta bantuan “rajah putih” dan mubaligh untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik dan perang saudara mereka. Perkembangan itu telah membawa kepada penjajahan Inggeris dan Belanda di Nusantara sehingga Indonesia mencapai kemerdekaan pada 1949 dan Malaya pada 1957.

3.6 Kajian tentang Nusantara yang telah dilakukan orang Belanda dan Inggeris sepanjang abad 19 pada ketika penghuni pribumi Nusantara dijajah dari segi politik, ekonomi, pendidikan dan mental, maka berada dalam keadaan yang paling lemah. Oleh itu, tempoh di pinggir abad ke 19 adalah zaman kegelapan di Nusantara kerana banyak faktor. Antaranya ialah:

  1. teks yang mengandungi sebahagian besar kearifan lokal Nusantara itu diangkut ke negeri Belanda dan United Kingdom
  2. kajian tentang kearifan Nusantara dibuat dari kaca mata orang Barat, lebih-lebih lagi berpandukan teori negara barat
  3. orang pribumi di Nusantara bukan sahaja tidak tahu menahu apa kajian yang dilakukan orientalis tentang diri mereka, tetapi juga tidak tahu menahu bagaimana membetulkan kesilapan kajian orientalis itu sehingga awal 1960an
  4. orang pribumi di Nusantara tidak tahu menahu bagaimana kajian orientalis itu digunakan, dan disebarkan kerana hanya pengkaji barat dan orientalis mempunyai hak cipta dan hak milik bahan kajian itu.
  5. pengajian mengenai Nusantara di universiti di barat dimonopoli orang Eorpah, tanpa melibatkan orang dari Nusantara


Oleh itu, walaupun kita berterima kasih kepada pengkaji barat dan orientalis dalam memperkenalkan kearifan lokal Nusantara ke barat dan dunia, tetapi kita juga terkilan dan marah seperti yang dibincangkan dalam buku yang disunting Tunku Shamsul Bahrin, Chandran Jeshurun dan A Terry Rambo (1981) dan juga Hall (1961). Sehubungan itu, besarlah harapan kita sekiranya minat kita sendiri kepada kearifan lokal dapat dipertingkatkan dengan rumusan yang terkandung dalam Agenda 21 United Nations Conference on Environment and Development pada 1992:

“Recognizing and Strengthening the Role of Indigenous People and Their Communities”. It calls for recognition of their values, traditional knowledge and resource management practices with a view to promoting environmentally sound and sustainable development and for the establishment … of arrangements to strengthen the active participation of indigenous people and their communities in the national formulation of policies, laws, programs relating to resource management and other development processes that may affect them, and their initiation of proposals for such policies and program.”

3.7 Seperti yang sudah disebut tadi, cabaran kini adalah bagaimana dapat dimanfaatkan kearifan lokal masa silam kerana adanya halangan seperti:

  1. Tidak banyak orang masa kini boleh memahami bahasa dan tulisan dalam teks tradisional
  2. Isi teks tradisional yang dikarang mengikut tradisi kepengarangan masa dahulu itu sukar diikuti masa kini
  3. Teks tradisional yang dikurung dalam Bilik Koleksi Khas di perpustakaan tidak mudah didapati
  4. Generasi muda kini tidak mempunyai ikatan emosi kepada kearifan lokal dalam manuskrip Nusantara masa silam
  5. Kajian tentang kearifan lokal dilakukan lebih banyak sebagai kajian akademik


4. Penutup

4.1 Manuskrip warisan di Nusantara adalah dokumen lokal yang penting tentang sebahagian kearifan mengenai pemikiran, politik, budaya, kebijaksanaan, perubatan, teknologi dan ekonomi Nusantara masa silam. Pendokumentasian kearifan itu dilakukan dengan satu perkara dikaitkan dengan yang lain, iaitu tokok-menokok dari masa ke masa, menurut tradisi kepengarangan Nusantara. Oleh itu, teks pensejarahan, misalnya, tidak sekadar memperkatakan kebesaran kesultanan Melayu, Java, Sunda, Bugis, Palembang, Pasai dan lain-lain, tetapi juga akal budi, minda, duka, suka, pahit, manis dan intelektual kepelbagaian kumpulan etnik itu Hasilnya, manuskrip warisan Nusantara yang rumit (complex) dan canggih (sophisticated) itu bersifat amalgam Pengarangan menokok-tambah kearifan yang baru itu dilakukan dengan penuh kesedaran untuk menyelamatkan segala kearifan yang penting dan yang dirasakan perlu diketahui khalayaknya. Tradisi kepengarangan itu telah membuat sebahagian besar manuskrip Nusantara itu bersifat yang merangkumi dan ensaiklopedik, walaupun kelihatan mempunyai tema yang khusus daripada judul yang diberikan. Keaneka-ragaman (diversity) isi itu juga mencerminkan kepelbagaian budaya yang dimiliki kepelbagaian kumpulan etnik di Nusantara yang boleh dipandang sebagai Mediteranean di Asia, maka dinamik perkembangannya, ekuran pertembungan budaya asli Nusantara dengan budaya asing dari India, Islam, Cina dan Eropah. Dengan kata lain, manuskrip Nusantara bukan sahaja mempunyai kepelbagaian kearifan penghuni pribuminya tentang alam fizikal dan sosialnya, tetapi juga terus menerus meresapi kearifan yang baru dari masa ke masa. Kepelbagaian dan kedinamikan kearifan lokal dalam manuskrip Nusantara itu bukan sahaja telah membolehkan masyarakat pribumi Nusantara membina tamadun yang gilang gemilang dari masa ke masa, dengan diselang-selikan peperangan, maka timbul tenggelamnya kerajaan di Nusantara dari masa ke masa, tetapi juga telah menarik perhatian pengkaji, sarjana, orientalis, mubaligh, pedagang dan penjajah dari Eropah sejak abad ke 19. Sejak itu, kearifan lokal dalam manuskrip Nusantara telah memberi sumbangan besar kepada kesarjanaan modern tentang sejarah masa lampau di Nusantara, selain sumbangan lain kepada perkembangan perubatan, lebih-lebih lagi khasiat tumbuhan yang lain yang memang mempunyai potensi untuk dikembangkan menjadi industri perubatan, pertanian dan pemakanan yang menguntungkan. Impian itu akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan cepat sekiranya kita sendiri yang terlibat. Inilah juga sebahagian daripada proses pembangunan dan pemodenan yang diingini: semua orang mesti dilibatkan dalam pembangunan negara yang akan mempengaruhi mereka, baik secara langsung atau tidak.

4.2 Kesemua itu juga bermakna banyak kearifan lokal dalam manuskrip Nusantara itu perlu diberi perhatian, kerana bukan semua kearifan lama itu sudah tidak sesuai lagi dengan kehendak dan keperluan kita pada masa sekarang, walaupun kita kini hidup di zaman IT, globalisai, demoktrati dan moden dan bukan di zaman pertanian, sara diri, feudal dan zaman manuskrip. Mengabaikannya, lebih-lebih lagi meninggalkannya akan membawa kerugian besar kepada kita, bukan sahaja kerana kita akan kehilangan kearifan pusaka yang boleh menjadi sumber inovasi dan kreativiti baru, tetapi juga bukan semua inovasi dan inovasi dari barat itu sesuai untuk kepentingan kita. Selama ini, banyak negara yang membangun ghairah mengimport kearifan, termasuk kepakaran dan teknologi yang dianggap lebih moden, maju dan canggih, dari negara barat, tetapi pendekatan itu adalah kurang bijak. Sebabnya ialah kerana kearifan barat itu tidak semestinya sesuai dengan pembangunan negara kita, selain akan membuat kita lebih bergantung kepada negara lain. Kebergantungan itu akan membuat kita mengetepikan, malahan menganak-tirikan kearifan lokal yang mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dimanfaatkan. Selain itu, pembangunan harus dipandang sebagai proses yang dapat meluaskan julat pemilihan kearifan yang diperlukan, yang tidak semestinya dari negara barat.

4.3 Untuk membolehkan lebih banyak kearifan dalam manuskrip Nusantara dapat dimanfaatkan, lebih banyak teks yang belum dikaji lagi itu perlu dikaji. Sehingga kini, manuskrip seperti Syair Puteri Handelan (Cod. Or 1771,di Leiden Universiti), Hikayat Dalang Menggoda Asmara (MS 20 di Dewan Bahasa dan Pustaka), Hikayat Al-Salikin (D.65 di Muzium Negeri Trengganu), Hikayat Khadijah Kahwin (MS.333 di Pusat Manuskrip, Perpustakaan Negara Malaysia), Hikayat Sultan Mahmud ‘Aznawi (Schoemann V. 13 di Staatsbibliothek Preussischer Kultursche, Berlin), Undang-Undang Raja Nati (Cod. Malai 7 di Bayerische Staatsbibliothek, di Munich), dan Hikayat Si Burung Pingai (Mal.-pol. 79 di Bibliotheque Nationale Paris) dalam tulisan Jawi masih terpendam di perpustakaan yang berkenaan. Selain itu, banyak teks yang sudah dikaji itu perlu ditransliterasikan, lebih-lebih lagi didigitasikan untuk disebarkan di Internet agar dapat dimanfaatkan mereka sudah tidak mengetahui tulisan Jawi, misalnya. Selain itu, teknologi ICT perlu dimanfaatkan memandangkan maklumat digital yang disebarkan di Internet mempunyai kelebihan yang tidak terdapat dalam maklumat cetak. Antaranya tidak timbul masalah mendapatkan teks yang berkenaan pada ketika yang dikehendaki, setelah teks digital boleh didapatkan dari komputer kita tanpa kita sendiri mengunjungi perpustakaan tradisional yang mempunyai banyak birokrasi. Kesemua kemudahan itu diharap dapat membangkitkan dan meningkatkan selain mengekalkan minat generasi muda terhadap manuskrip. Merekalah yang akan mewarisi apa yang kita tinggalkan nanti. Hanya dengan itu apa yang dilakukan sekarang dapat mencapai keberkesannnya dalam erti “inclusive” dan “multi-sectoral.”

4.4 Memanglah kerugian besar kepada kita sekiranya kearifan lokal yang diselamatkan dalam manuskrip itu ditinggalkan, dijauhi, diabaikan dan diperlekehkan kita yang mempunyai segala kemudahan untuk menyebarkannya, semata-mata kerana tidak dapat dimanfaatkan, lebih-lebih lagi kerana “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, kita mesti sedar bahawa segala kearifan yang dituliskan dengan bersusah payah masa dahulu itu patut dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin seperti kita memanfaatkan kearifan baru, termasuk yang diimport dari negara barat. Di sini kita juga mesti insaf bahawa kearifan dalam manuskrip Nusantara adalah berasal daripada pakar, orang bijak, yang berpengalaman dan yang diamanahkan. Ketokohan pengarang Nusantara masa dahulu tidak kalah daripada ketokohan pengarang masa kini, baik di timur atau di barat. Daripada kearifan itulah nenek moyang orang di Nusantara dahulu dapat menyelesaikan kepelbagaian masalah yang mereka hadapi dan seterusnya membaiki kehidupan mereka dari masa ke masa. Dalam proses itu, banyak kearifan lokal telah tersebar luas sehingga menjadi milik atau warisan bersama semua penghuni pribumi di Nusantara. Antara cabaran pembangunan negara dan peningkatan hidup kita sekarang dan masa hadapan ialah mencari perimbangan antara kearifan lokal dan barat dalam pembangunan kita. Akhir kalam, manuskrip Nusantara boleh menawarkan sebahagian besar kearifan, maklumat, ilmu, pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang penting Manfaatnya boleh diibaratkan sebagai sebatang sungai yang mengalir daripada gunung, dengan kita yang menunggu di tepi anak sungai itu tidak takut akan mati kelaparan dan kehausan kerana kehabisan airnya, sekiranya kita pandai mengurusnya.

Rujukan

A. Samad Ahmad. Sulaltus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.

Ab Razak Ab Karim. Surat Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah: Stilistik Penulisan Warkah Melayu Lama. . Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006..

Abdul Rahman bin Haji Ismail. Sejarah Melayu – the Malay Annals. MS Raffles No. 18. Kuala Lumpur: MBRAS, 1998.

Abdullah Zakaria bin Ghazali. Misa Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Penataran Ilmu, 1994.

Abdullah Zakaria bin Ghazali & Zainal Abidin Borhan. Naskah Kesultanan Melayu: Khazanah Masa Lalu, Penelitian masa kijni, membina masa depan. Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Ahmad Jelani Halimi. Surat Perdagangan Kedah-Inggeris pada separuh pertama Abad ke 18. Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006..

Ampuan Haji Brahim. Naskah-Naskah Brunei: Satu Pembicaraan Budaya. Kumpulan Makalah Simposium Internasional Pernaskahan Nusantara X – Budaya Lokal dan Manifestasinya dalam Naskah Nusantara, Palembang, 28-30 Juli 2006.

Arba‘iyah Mohd Nor. Naskah Salasilah Sultan Omar dan Salasilah Kesultanan Terengganu. Kesultanan Melayu Terengganu. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Bazrul Bahaman: Salasilah Tambusai: Sebuah Mansukrip Sejarah. Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006: 447-464

Chamber-Loir, Henri & Oman Fathurahman. Panduan Koleksi Naskah-Naskah Indonesia Sedunia: World Guiode to Indonesian Manuscript Collection. Jakarta: Ecole francaise d‘Extreme-Orient & Yayasan Obor Indonesia; 1999.

Coster-Wijsman. Illustraties bij het Javanese Verhaal Pandji Djajakusuma. BKI 108 (1952)

Ding Choo Ming. Raja Aisyah Suliman: Pengarang Ulung Wanita Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999.

------ Khatijah Terung dengan Karyanya Perhimpunan Gunawan bagi Lak-Laki dan Perempuan.‘ Jurnal Filologi Melayu. 10 (2002): 19-33.

----- Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan Cadangan. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2003.

----- Projek Pemetaan Manuskrip Pribumi Nusantara. Simposium Internasional Pernaskahan Nusaantara IX, di Keraton Buton, Sulawesi Tenggara, Buton, pada 5-8 Ogos, 2005

------ Penglibatan Bukan Melayu dalam Pengajian Dunia Melayu. Pemikir bil. 43 (Jan-Mac 2006): 165-182

Hall, D. G. E. ed Historians of Southeast Asia. London: Oxford University Press.1961. (Historical writings on the peoples of Asia).

Harun Mat Piah, 2006. Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Hasaruddin. Tula-Tulana Raja Indara Pitara: transformasi Naskah Melayu di Buton. Kumpulan Makalah Simposium Internasional Pernaskahan Nusantara X – Budaya Lokal dan Manifestasinya dalam Naskah Nusantara, Palembang, 28-30 Juli 2006.

Ismail Hussein. The Study of Traditional Malay Literature with a Selected Bibliography. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974.

Mahani Musa. Undang-Undang Kedah Versi Ku Din Ku Meh (1311 Hijrah/1803 Masihi). Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Maier, Hendrik Menko Jan. Fragments of Readings: The Malay Hikayat Merong Mahawangsa. Alblasserdam: Offsetdrukkerij Kanters, B. V. 1985.

Mohd Yusof Abdullah. Naskah-Naskah Kesultanan Melayu di Muzium Negeri Terengganu. Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006:73-81.

Mu‘jazah. Martabat Tujuh: Edisi Teks dan Pemaknaan Tanda serta Simbol. Jakarta: Penerbit Djambatan & Yayasan Naskah Nusantara (YANASA), 2005.

Muhammad Haji Salleh. Kritikan sastera di Malaysia.” Dewan Sastera (Januari 1974):20-23

Noriah Taslim. Menyusur Syair Raja Muda Perlis: Berbicara Melalui Kelunakan Bunyi. Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Putten, van der Ian & Al-Azhar. Di Dalam Berkekalan Persahabatan – In Everlasting Friendship Letters from Raja Ali Haji. Leiden: University of Leiden, 1995.

Ricklefs, M. C. & P. Voorhoeve. Indonesian Manscripts in Great Britain: A Catalogue of Manuscripts in Indonesian Languages in British Public Collections. Oxford” Oxford University Press, 1977.

Shaharil Talib et alk. Tuhfat al-Nafis: Naskah Terengganu. Kuala Terengganu: The House of Tengku Ismail, 1991.

Siti Hawa Salleh. Naskah Melayu Berunsur Sejarah (Kerajaan Melayu). Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006:. 14-49

Siti Mariani S. M., Omar. Warkah Raja-Raja Melayu di Pusat Manuskrip Melayu. Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006: 50-72.

Sweeney, Amin Silsilah Raja-Raja Brunei.‘ JMBRAS 41 (2): 1968

Teuku Iskandar. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Jakarta: Libra, 1996..

Tengku Luckman Sinar. Sejarah Awal Kerajaan Melayu di Sumatra Timur: 423-446 Kesultanan Melayu. Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Tunku Shamsul Baharin, Chandran Jeshurun & A Terry Rambo. A Colloquium on Southeast Asian Studies: Proceedings of an International Conference held at Kota Kinabalu, Sabah, 22-26 November 1977. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, 1981

Utomo, Imam Budi. Budaya Lokal – Translokal dalam Serat Centhini. Kumpulan Naskah Simposium Internasional Pernaskhana Nusantara X, Palembang, 28-30 Juli, 2006.

Wan Shamsuddin Mohd Yusof. Surat Sultan Amad Tajuddin Halim Syah II (1804-1845): Suatu Pengenalan. . Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006..

Zahir Ahmad. Peringatan Raja-Raja Kedah: Suatu Pengenalan Naskah. Kesultanan Melayu: Kedah. Penyenggara Rogayah H. Hamid & Mariyam Salim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Zuriati. Surat Pagang Gadai dan Konflik Harta Kaum di Minangkabau. Kumpulan Makalah Simposium Internasional Pernaskahan Nusantara X – Budaya Lokal dan Manifestasinya dalam Naskah Nusantara, Palembang, 28-30 Juli 2006.

__________________

Simposium Internasional Pernaskahan Nusantara XI: Kearifan Lokal yang Terkandung dalam Naskah Nusantara di Bima, Nusa Tenggara Barat, 26-29 Julai 2007

__________________

Ding Choo Ming, adalah Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Malaysia

E-mail: dingukm@yahoo.com, chooming@pkrisc.cc.ukm.my

Kredit foto : Iluminasi Naskah Kuno Indonesia (dengan pengolahan)


read : 6107

  Bagikan informasi ini ke teman Anda :  




Tuliskan komentar Anda !




Menu utama

Member login




Daftar Anggota | Lupa Password

Profil Penulis





Pembayaran

Bank Mandiri
Rekening Nomor :
137.000.3102288
Atas Nama :
Yayasan AdiCita Karya Nusa

Atau

Bank BCA
Rekening Nomor :
445.085.9732
Atas Nama :
Mahyudin Al Mudra

Konfirmasi pembayaran,
SMS ke : 0852 286 6060 7


atau lewat line Customer Servis di ( 0274 ) 377067
atau email akn@adicita.com atau adicita2727@yahoo.com
atau
Bagian Marketing Proyek
0852 286 6060 7


Profil Penulis

 Online: 95
 Hari ini: 948
 Kemarin : 4.351
 Minggu kemarin : 20.554
 Bulan kemarin : 123.278
  Total : 7.133.895